Tuesday, March 27, 2012

surah al-Hujurat ayat 11


Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Ayat 11. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11

Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah bila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal, Salman dan Ammar yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah (SWT) menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah (SWT) Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah (SWT) tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.
Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang dilapurkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah (SAW) pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah (SAW) sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Pengajaran ayat:
Dalam ayat ke-11 ini Allah (SWT) menetapkan dua larangan dalam konsep persaudaraan dalam Islam.
1. Janganlah memandang rendah kerana sifat ini lahir dari perasaan riya’ dan ujub (bangga dan sombong serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya). Namun begitu ada riya’ dan bangga diri yang dibenarkan iaitu bangga menganuti agama Islam dan mendokong segala prinsip dan syariat Islam dan berasa ujub (superior) dengan lengkap dan syumulnya Islam berbanding dengan agama yang lain, dan tidak merasa malu-malu atau rendah-diri mengenainya. Inilah bangga diri yang dibenarkan dan digalakkan.
2. Janganlah mengamalkan tabiat gemar mempersendakan orang lain. Termasuk empersendakan ialah menghina, memalukan, melekehkan, mengutuk, mencaci dan seumpamanya. Tabiat memannggil dengan panggilan yang buruk, ‘character assassination’ dan sebagainya sudah menjadi lumrah dalam suasana hidup zaman sekarang. Tidak mustahil kalau ianya berjaya dibuang dalam kehidupan sehari-hari maka tidak banyaklah benda yang hendak dicakap atau dituliskan.
Beberapa buah hadis Rasulullah (SAW) sebagai pesanan:

Dilapurkan oleh Saalim berkata ayahnya bahawa Nabi (SAW) bersabda “Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat” (riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani).
Dilapurkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah (SAW) “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (riwayat Tirmizi dan Abu Daud).

sumber:

No comments:

Post a Comment